Sudah menjadi kebiasaan, seorang yang bukan daripada bidang agama
apabila dia berpenampilan menutup aurat dengan sempurna, maka dia dicop
sebagai golongan yang arif tentang agama. Alim katanya. Ilmu agama mesti
penuh di dada. Gelaran 'ustaz' dan 'ustazah' diberikan. Walhal, mereka
juga sebenarnya masih dalam proses meningkatkan kualiti diri.
Adakalanya, mereka juga terkapai-kapai.
Adakalanya mereka juga
tercari-cari.
Bagi diri yang dipanggil dengan gelaran 'ustaz' atau 'ustazah' itu,
terasa bagai ada satu beban yang terpikul. Terasa diri semacam tidak
layak untuk mendapat gelaran sedemikian. Terasa diri terlalu banyak
kekurangan. Terasa diri diselaputi dosa. Ditambah lagi dengan bidang
yang diambil bukanlah dari cabang-cabang agama yang dijulang, lantas
gelaran 'ustaz' atau 'ustazah' itu terasa sememangnya tidak layak untuk
diri. Pernah rasa macam itu?
Saya yakin, mesti ada yang pernah mengalaminya sebab diri ini juga
merupakan salah seorang daripadanya. Terasa diri sangat-sangat tidak
layak. Ya, mungkin ada yang berpendapat..
"Alaa.. setakat gelaran, apalah sangat.. maksudnya sama jugak macam cikgu ke teacher ke..".
Tapi, majoriti mentaliti masyarakat kini tidak mengizinkan pendapat
yang mengatakan ianya hanyalah satu gelaran yang sama maksudnya dengan
cikgu mahupun teacher.
Sebaliknya, gelaran 'ustaz' mahupun 'ustazah' itu membawa
bersama-sama maksud, yang mana seseorang itu mempunyai ilmu agama yang
baik dan menjadi pakar rujukan khususnya dalam bab-bab hal agama.
Seorang yang alim (warak) bahkan, ada yang berpendapat golongan yang
bertudung labuh, berjubah, dan berserban ini merupakan mereka yang
mengetahui ilmu bahasa Arab, hafiz mahupun hafizah yakni penghafaz
al-Qur'an.
Sehinggakan pensyarah yang dihormati turut memanggil dengan gelaran
'ustaz' mahupun 'ustazah'. Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan dengan
bahasa Arab dan agama di bilik kuliah, pendapat kita diraikan dengan
bertanya pendapat kita. Namun adakah hakikatnya begitu?
Percayalah, bukan semua mereka begitu. Bahkan, ada daripada golongan
ini yang tidak pernah sekalipun bersekolah di sekolah agama. Ada yang
masih bertatih. Ada yang masih dalam proses membiasakan diri. Pendek
kata, masih dalam usia setahun jagung mengenal Allah. Namun begitu,
apakah yang membezakan mereka dengan yang lain?
Penampilan mereka. Ya. Mereka cuba sedaya upaya untuk mentaati
suruhan-Nya. Sekurang-kurangnya mereka sudah terlepas daripada
tanggungjawab menutup aurat. Seterusnya, suruhan-suruhan-Nya yang lain
pula cuba dipraktikkan dari semasa ke semasa. Mereka cuba menjaga tutur
kata. Mereka cuba menjaga muamalat, iaitu cara bergaul antara bukan
mahram dengan sebaik mungkin. Mereka cuba sedaya upaya menjaga habluminannas dan habluminallah*.
Namun begitu, sebagaimana lazimnya seorang manusia, fitrah mereka tetap
ada, yakni imannya bersifat menaik dan menurun. Maka, sekiranya ada
kekhilafan dan kealpaan mereka, tegurlah dengan berhikmah sebagaimana
yang dituntut agama.
Dalam masa yang sama, bagi saya mereka yang mendapat gelaran 'ustaz'
atau 'ustazah' ini perlu sebenarnya berterima kasih kepada golongan yang
memanggilnya sedemikian rupa. Mengapa? Kerana melalui gelaran
tersebutlah sebenarnya, sedikit sebanyak membantu kita untuk lebih
menjaga diri, untuk lebih mengawal adab sopan dan untuk lebih mengawal
perlakuan yang ada. Secara tidak langsung ianya adalah suatu dakwah
kepada orang-orang di sekeliling.
Tahniah! Anda telah berjaya melakukan dan menyambung kesinambungan
dakwah Rasulullah S.A.W. "Tapi bagaimana? Aku tak buat apa-apa pun?".
Siapa kata anda tidak melakukan apa-apa? Anda sebenarnya telah
berdakwah kepada mereka. Secara tidak langsung, anda telah mendidik
mereka menyemai satu sifat yang sangat dituntut, iaitu bersangka baik.
Uslub dakwah itukan pelbagai!. Buktinya, tanpa perlu anda mengeluarkan
sepatah kata sekalipun.. mereka tanpa sedar telah bersangka baik bahawa
anda itu baik akhlaknya, baik imannya (kerana ustaz mahupun ustazah itu
sangat sinonim dengan akhlak dan hati/iman yang baik, walaupun mungkin
bukan semua). Sangkaan yang baik itu akhirnya diluahkan dan
diterjemahkan dengan cara memanggil anda dengan gelaran ustaz mahupun
ustazah.
Walau bagaimanapun, mungkin ada yang berpendapat gelaran tersebut
dipanggil hanyalah kerana ingin memerli individu tersebut. Ya, mungkin
sebahagiannya ada yang berfikiran sebegitu. Tapi, percayalah bahawa
mereka yang berfikiran sedemikian juga pada asalnya memiliki rasa kagum
dan hormat kepada anda. Namun kerana perasaan itu telah diselaputi oleh
satu perasaan yang dinamakan 'ego', maka mereka telah bertindak menutup
segala rasa tadi. Jadilah mereka golongan yang sukar untuk menerima rasa
hati sendiri.
Selain itu, melalui gelaran 'ustaz' mahupun 'ustazah' ini juga
sebenarnya mampu menjaga diri kita. Buktinya? Jika ditanya kepada
majoriti mereka yang berada dalam situasi ini mengenai gangguan yang
diterima, saya yakin bahawa jawapan mereka seakan-akan sama. Jawapan
yang bagaimana? Jawapannya, mereka seakan-akan dilindungi, seakan-akan
dijaga, seakan-akan dikawal dalam erti kata menjaga tingkah lakunya
serta dihormati. Semuanya diperolehi dengan jasa gelaran 'ustaz' mahupun
'ustazah' tersebut dengan izin Allah.
"Wahai Nabi,
suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi
menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian
lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
(Surah al-Ahzab ayat 59)
(Surah al-Ahzab ayat 59)
Lihatlah! Allah juga telah memberikan jaminan keselamatan bahawa
mereka yang mengikuti suruhan-Nya ini tidak diganggu, dan saya yakin
hampir semua orang yang berada dalam golongan ini juga memiliki
kisah-kisahnya yang tersendiri yang menjadi bukti kata-kata Allah ini.
Melalui gelaran ini juga secara tidak langsung mampu untuk mendidik
diri yang digelar itu juga. Bagaimana? Tidak keterlaluan rasanya jika
dikatakan gelaran tersebut mampu untuk menjadi guru kita. Masakan tidak,
apabila diri dipanggil dengan panggilan yang sedemikian, masihkah kita
sanggup membiarkan diri dihiasi dengan akhlak yang tidak sewajarnya?
Akhlak yang tidak melambangkan akhlak Islam?
Bagi nurani yang bersih, saya kira tidak sanggup untuk berakhlak
sedemikian lagi. Maka, detik demi detik akhlak diri sedaya upaya cuba
ditingkatkan, walaupun adakalanya sering tersungkur jatuh. Hal itu
bukanlah suatu yang boleh menjadi batu penghalang untuk diri melakukan
perubahan paradigma. Masa demi masa, ilmu agama makin ditingkatkan.
Bukankah itu satu perkara yang baik?
Maka, saya rasa sangat-sangat wajar sebenarnya ucapan terima kasih
ditujukan khas buat mereka yang memanggil dengan gelaran 'ustaz' mahupun
'ustazah' ini. Terima kasih! ^_^
* Habulminannas : Hubungan manusia sesama manusia
Habluminallah : Hubungan manusia dengan pencipta (Allah SWT)
Habluminallah : Hubungan manusia dengan pencipta (Allah SWT)
No comments:
Post a Comment