Rindu dan cemburu adalah permainan perasaan, ianya wujud pada setiap
manusia. Tidak perlu disangkal rasa seumpama itu, kerana ianya adalah
fitrah.
Namun, agak janggal bagi setiap pasangan yang bercinta. Kelibat rindu
dan cemburu melebihi segala-galanya. Perasaan sedemikian mengubah corak
hidup mereka. Tiada lagi kebahagiaan, tiada juga ketenangan.
Kebiasaannya, bagi mereka yang tidak bercinta , rasa cemburu dan
rindu berada pada tempatnya. Tidak dibayangi dengan ketakutan yang tiada
jasadnya. Jika ada sekalipun, perasaan itu langsung tidak membunuh jiwa
si pemilik nyawa.
Jiwa Tidak Bebas
Manusia yang dirantai dengan perasaan cemburu dan rindu berlebihan
terpaksa menjalani kehidupan yang meresahkan. Setiap hari dan setiap
masa fikiran mereka melayang jauh memikirkan perkara yang membebankan.
" uish.. Awek aku ni buat apa ni. Apasal tak balas mesej?"..
"hmm..pakwe aku ni keluar dengan perempuan lain ke, kenapa off handset?"
Walaupun pada mereka nampak bahagia, namun hakikatnya susah hidup
dengan kehidupan sebegitu rupa. Ruang masa yang sepatutnya bebas untuk
dinikmati dengan bahagia kini bertukar sengsara. Jiwa terasa sempit
kerana asyik memikirkan hal orang lain yang belum tentu menjadi
miliknya. Itu belum lagi termasuk hal peribadi yang lain.
Sedangkan jika sebelum status "single" bertukar kepada " couple"
setiap urusan begitu indah untuk ditempuhi. Tidak perlu menyibukkan
diri untuk memikirkan perkara yang remeh temeh, apatah lagi untuk
menyeksa perasaan mencintai sesuatu yang belum halal.
Ini Puncanya!
Manusia yang berhadapan dengan situasi sebegini sebenarnya hanya
perlu tahu seperkara agar hidup tidak lagi terganggu. Anda hanya perlu
tahu bahawa anda terpaksa menelan pahit ketika ini kerana kekasih anda
masih belum halal untuk dimiliki.
Tidak boleh disentuh, sedangkan anda ingin yang disebaliknya.
Tidak boleh keluar berdua-duaan sedangkan hati anda mahu sentiasa
bersamanya. Walaupun hakikatnya pada saat ini ramai yang lebih gemar
melanggar 'jalan agama' asal dapat keluar berdua-duaan bersama orang
yang dicinta.
Tidak boleh berpisah dengannya, sedangkan jika diikut kata hati,
pasti anda mengikutnya ke mana sahaja pasangan anda pergi. Walau beribu
batu jauhnya, walau dekat sejengkal, anda ingin tetap bersamanya. Hatta
walau dia hanya mahu membuang hajat sekalipun, anda ingin mengekorinya.
Benarkan? Tetapi itulah realitinya.
Kesimpulannya, begitulah perasaan rindu dan cemburu yang menyeksakan
kerana seseorang itu belum memiliki sesuatu yang dimahukan. Ironinya,
inilah yang dimaksudkan dengan cinta yang berlandaskan nafsu
semata-mata.
Lihat Mentari Esok
Di sebalik langsir kehidupan tanpa ikatan, cuba anda bayangkan pula
situasi selepas kahwin. Pasti semuanya berubah bukan? Jika dahulunya
tidak boleh berpisah biarpun sementara kini 24 jam si dia di sisi anda.
Siang dan malam asyik mengadap muka yang sama.
Makan bersama, tidur bersama dan melakukan pelbagai aktiviti lain
juga bersama. Akhirnya Perasaan suka mungkin bertukar jemu. Malah
kemungkinan tiada lagi perkara yang patut untuk disembunyikan.
Jika dulu adab sopan di jaga. Namun, selepas kahwin kentut pun
dilepaskan begitu sahaja. Bertahak di hadapan pasangan sudah menjadi
perkara biasa. Tiada yang istimewa menjadi rahsia untuk diterjemah.
Semuanya telah diketahui sebelum ikatan suci bersemi. Akhirnya itulah
perkara yang bakal menghiasi setiap hari pasangan berumah tangga.
Romantik sudah tiada, perasaan rindu dan cemburu pula entah ghaib hilang entah ke mana.
Bersabar Sementara
Kini, apakah anda sudah mengerti? Bahawa kita sebelum ini
diperbodohkan dengan mainan perasaan yang dikawal syaitan. Jarumnya
mencucuk hati dan fikiran manusia agar ia dapat mentertawakan manusia
yang telah tunduk dengan arahannya.
Islam telah sempurna mendidik manusia dalam segenap sudut,
termasuklah dalam aspek percintaan. Sebab itulah dalam hubungan umat
islam dilarang sesekali melakukan perkara yang dilarang.
Tidak boleh keluar bersama selagi tiada ikatan, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh berurusan tanpa sebab-sebab yang utama.
Setiap perkara seakan ada halangannya, susahkan?
Anda tidak akan merasa sebegitu andai anda bijak meneka hikmah di
sebalik semua itu. Kita hanya perlu menjauhi perkara yang dilarang dalam
hubungan agar segala kekusutan terhindar.
Hanya perlu bersabar seketika, kerana itu ialah penawar untuk
menempuh hidup yang bahagia di dalam alam rumahtangga. Namun jika anda
masih tidak berpuas hati, Bernikahlah segera!
No comments:
Post a Comment